Kata-Kata Faisal

  1. Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.
  2. Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.
  3. Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
  4. Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.
  5. Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.
  6. Mahu suami soleh & isteri solehah?Mahu anak-anak yang soleh solehah?Psss, tanya diri dulu. ‘Diri’ kita itu sudah menjadi soleh solehah untuk ibu bapa kita tak?
  7. Mengingati Allah itu satu keperluan melebihi dari perlunya kita kepada oksigen. Kita tidak kan mampu menghirup kebaikan yg ada sepanjang perjalanan kehidupan tanpa hidayah dan taufik dari Allah swt~
  8. Kalau kita ketuk pintu rumah orang pukul 3,4 pagi, mesti orang marah giler. Tapi kalau waktu sebegitu kita ketuk pintu Tuhan, Tuhan sangat gembira dan suka menerima hambanya…
  9. “Ya Allah, jadikan kami hamba yang sihat & taat”
  10. Tanda kita belum baik ialah apabila kita selalu merasakan kita lebih baik dari orang lain.
  11. Hidup dalam fitnah akhir zaman, jalan ke neraka ‘lebih lurus’ berbanding jalan ke syurga.
  12. Apa perasaan kita apabila kita tahu tuhan memanggil kita ‘wahai sayang’?
  13. kitα berkenαlαn → Allαh yg rαncαng. Kitα rαsα sukα → Allαh yg beri. Kitα bersαmα → Allαh yg αtur. Kitα berbαhαgiα → Allαh yg detikkαn
  14. “Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari”
  15. Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.
  16. Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Berapa Banyak Air Yang Perlu Diminum?

Ada orang kata jangan minum air banyak-banyak. Minum seteguk dua saja, ini petua untuk awet muda. Ada pendapat yang mengatakan kita perlu meminum 8 gelas sehari. Yang mana betul?

Pendapat yang pertama, memang tidak betul. Yang kedua? Tidak berapa betul! “8 gelas sehari” lebih merupakan sebagai lagenda yang telah diterima sebagai fakta.

Baru-baru ini, Jurnal Psikologi Amerika mendedahkan bahawa tidak terdapat bukti saintifik yang dapat menyokong teori “8 gelas sehari”. Jangan salah faham pula. Saintis tersebut bukan mengatakan kita tidak memerlukan air. Tetapi nasihat agar kita mengambil 8 gelas air sehari bukanlah satu nasihat yang baik.

Pertama, kita perlu meminum air berulangkali di sepanjang hari. Meminum 8 gelas di waktu pagi dan mempercayai bahawa anda sudah meminum air yang cukup untuk hari tersebut adalah berbahaya.

Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Berapa banyak yang perlu diminum? Ianya bergantung kepada cuaca dan aktiviti yang anda jalankan. Lebih banyak anda kehilangan air, lebih banyak yang perlu diminum, lebih banyak dari 8 gelas. Tetapi jangan pula meminum terlalu banyak. Kenapa pula? Meminum terlalu banyak air boleh menyebabkan keracunan air (sekiranya menahan membuang air kecil) ataupun situasi elektrolit tak seimbang.

Peringatan: Lebih banyak anda meminum air, lebih banyak anda perlu menggantikan elektrolit anda. Di mana anda boleh memperolehi bekalan elektrolit? Dari air minuman sukan seperti 100 Plus, Excel dll.

Nanti dulu, sebelum anda ke pasaraya untuk membeli minuman tersebut, saya ada satu petua untuk anda. Masukkan secubit garam ke dalam setiap gelen air minuman anda. Nah! Anda sudah mendapat bekalan elektrolit yang cukup.

Hidup Sihat – Jantung Sihat

Berhenti Merokok

Para penyelidek telah membuktikan bahawa terdapat pertalian antara penyakit jantung dengan merokok. Dua pertiga dari mereka yang meninggal akibat penyakit jantung adalah perokok. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dan 40 jenis karsinogen di dalam asap rokok. Sekiranya anda menyayangi jantung anda, berhentilah merokok dengan serta merta. Sekiranya anda tidak menyayangi jantung anda, sayangi jantung mereka yang berada di sekeliling anda. Sekiranya anda tidak sanggup berbuat demikian, fikirkan bahawa adakah wajar untuk mereka menyayangi anda?

Harungi Hidup Dengan Tenang

Para doktor telah mengesahkan bahawa perasaan dan tindakan kita akan memberi kesan kepada jantung kita. Fenomena baru di Malaysia ialah kerja terlalu kuat. Ramai eksekutif dan staf yang bekerja hingga larut malam dan menjadi tertekan. Di Jepun, ramai juga eksekutif yang mati kerana kekurangan rehat. Pandangan kita terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan kita juga boleh menimbulkan tekanan. Untuk membantu anda membina pandangan baru, sila lawat blog saya di http://www.mymotivasi.com.

Jantung Sihat Sepanjang Hayat

Tahun lepas dilaporkan bahawa terdapat 9,000 kematian di hospital kerajaan akibat penyakit kardiovaskular. Ia merupakan 22.5% dari jumlah kematian yang direkodkan. Ini memberi gambaran sebenar mengenai gaya hidup moden yang meliputi diet, senaman, waktu bekerja dan penggunaan produk tembakau. Kita memakan makanan segera yang mengandungi kadar lemak yang tinggi, natrium dan karbohidrat murni. Kita kurang bersenam kerana sibuk bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin. Ramai yang masih merokok walaupun harga rokok naik tiap-tiap tahun.

Sudah sampai masanya untuk kita semua mengambil berat tentang kesihatan kita. Kita tidak mempunyai cara lain melainkan mengubah gaya hidup kita. Menjalani gaya hidup saya memerlukan komitmen.

Ingat, penyakit jantung dan strok tidak menyerang mereka yang gemuk sahaja. Orang kurus juga diserang penyakit jantung dan strok. Orang gemuk yang bertenaga (fit) mempunyai risiko mengidap penyakit kardiovaskular yang lebih rendah berbanding dengan orang kurus yang lemah. Untuk menjadi bertenaga, anda perlu menjalani gaya hidup sihat.

Jika kita selalu bersenam, makan dalam kuantiti sederhana, makan makanan seimbang, tidak meminum alkohol, tidak merokok dan mempunyai rehat yang cukup, besar kemungkinan jantung kita akan kekal sihat untuk tempoh masa yang lama.

Apa perbezaan antara sakit jantung dengan strok?

Sakit jantung terjadi apabila terdapat pengurangan aliran darah ke otot jantung, yang biasanya disebabkan oleh plak dan darah beku. Strok pula terjadi apabila berlaku gangguan terhadap bekalan darah ke otak, yang mungkin disebabkan oleh darah beku atau pembuluh darah pecah. Strok boleh membawa kepada kematian serta merta atau kecacatan kekal.

Maklumat tambahan (Sumber: Familydoctor.org):

Para penyelidik menemui bahawa paras homosistin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan arteri rosak dan darah lebih mudah menjadi beku. Bekalan nutrien yang cukup amat penting dalam pengawalan paras homosistin tersebut.

Punca Perut Buncit

KEADAAN perut yang buncit selepas makan pasti sukar untuk dihindari. Namun, perkara itu boleh dicegah jika kena caranya.perut-buncit-642x336

Seorang pakar diet dan pemakanan Indonesia, Nadya Andreeva berkata, gaya hidup dan pemilihan makanan yang sesuai dapat mencegah perut buncit.

“Pertama sekali, seseorang perlu mengelak daripada mengambil minuman sejuk semasa makan kerana ia menyempitkan saluran darah sekali gus melambatkan proses metabolisme.

“Sebaiknya, seseorang disarankan mengambil teh herba panas ataupun air suam sewaktu makan,” katanya.

Seseorang juga harus menahan diri daripada mengambil pencuci mulut yang manis dan berkalori tinggi selepas makan kerana ia membuatkan perut berasa kenyang secara berlebihan dan menimbulkan rasa mual.

“Kebiasaannya makanan seperti ini menjadi punca lemak berkumpul pada dinding perut dan menyebabkan perut buncit.

“Bukan sahaja perut, bahagian pinggul juga akan membesar akibat manisan ini,” katanya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my

 

Barah Payu Dara Lelaki

Walaupun anda seorang lelaki, kemungkinan untuk diserang barah payu dara tetap ada, apatah lagi jika anda obes dan lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah penyakit itu.

Umumnya peratusan kes barah payu dara lelaki agak kecil iaitu 1% dalam semua kes barah payu dara. Bagaimanapun, kerana kebanyakan lelaki beranggapan barah payu dara itu penyakit wanita, ada yang tidak mempedulikan simptom yang ada pada mereka. Akhirnya, apabila pesakit lelaki datang mendapatkan rawatan kebanyakan mereka sudah berada di tahap akhir.

Simptom paling ketara adalah ketulan di payu dara. Disebabkan payu dara lelaki lebih dekat dengan dada, ia lebih mudah merebak berbanding barah payu dara yang menyerang wanita.

Payu Dara Lelaki

Lelaki memiliki sejumlah kecil tisu payu dara yang tidak berfungsi. Pada peringkat kanak-kanak, tisu payu dara kanak-kanak lelaki dan perempuan hanya terdiri daripada struktur seperti tiub atau saluran yang dikenali sebagai puting susu.

Bagi perempuan apabila datang haid, ovari menghasilkan estrogen menjadikan saluran itu membesar dan kelenjar susu terbentuk di hujung puting itu. Lelaki pula, hormon testosteron menekan pertumbuhan tisu payu dara dan pembentukan kelenjar susu.

Justeru, payu dara lelaki selalunya kecil dengan puting yang tidak terbentuk dan sejumlah kecil lemak dan tisu.

Lelaki yang diserang barah payu dara selalunya gemuk kerana golongan itu memiliki lebih banyak tisu pada payu dara.

Simpton dan Faktor Risiko

Simptom barah payu dara antara lelaki dan wanita juga sama. Ada ketulan kecil di payu dara atau ketiak, lelehan daripada puting atau kulit di payu dara yang termasuk ke dalam membentuk lekuk.

Faktor risiko barah payu dara pada lelaki :

* Berusia
* Memiliki sejarah keluarga yang didiagnos dengan barah payu dara
* Terdedah pada rawatan radiasi
* Penyakit hati yang kronik
* Berhadapan dengan masalah hormon perempuan berlebihan (sindrom klinefelter)
* Obes

Tiada beza rawatan barah payu dara sama ada untuk lelaki atau perempuan. Apa yang perlu ditekankan adalah pada tahap mana barah itu berada. Ada pesakit yang hanya memerlukan pembedahan kecil dan tanpa kemoterapi. Ada juga yang memerlukan rawatan kemoterapi atau terapi hormon.

Sistem Imun: Pelindung Kesihatan Kita

Sistem imun melindungi kita dari penceroboh asing seperti virus, bakteria, kulat, protein asing dan sel kanser. Ia adalah satu sistem yang sangat canggih, anugerah Yang Maha Pengasih, yang merupakan perlindungan terbaik dari sebarang penyakit berbahaya. Tiada ubat yang dapat menandingi sistem imun yang sihat. Secara ringkas sistem imun terdiri daripada sel khas, protein, tisu dan organ (nodus limfa, sistem pernafasan, limpa, kulit, apendiks, perut dan usus). Di dalam artikel ini saya akan terangkan serba sedikit mengenai tugas beberapa pemain dalam sistem imun:

Makrofaj (atau fagosit) – Sel darah putih yang berbentuk seperti Pac-Man, merupakan barisan pertahanan pertama sistem imun. Ia dengan cepat menyerang mana-mana penceroboh asing dan menelannya (seperti dalam permainan video Pac-Man). Namun kadangkala makrofaj tidak pasti sama ada yang datang itu penceroboh asing atau kawan. Makrofaj sudah tentu tidak mahu memusnahkan sesuatu yang merupakan sebahagian dari tubuh kita. Untuk membantunya mengenali kawan atau musuh, makrofaj akan meminta bantuan sel T-pembantu.

Sel T-pembantu adalah dari kumpulan sel darah putih yang dikenali sebagai limfosit. Sel T-pembantu akan mendatangi dan melekatkan dirinya dengan makrofaj untuk membantu makrofaj mengenali sama ada yang berada dalam genggamannya itu kawan atau musuh. Sekiranya sel T-pembantu memutuskan ianya adalah musuh, ia akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai sitokines, yang memberi isyarat kepada sistem imun untuk bertindak dengan pantas. Ini merangsang sel-B untuk bertindak dan menarik lebih banyak makrofaj dan sel T-pembantu untuk datang menyelamat. Sekiranya sel T-pembantu tidak mengenali penceroboh asing tersebut, sistem imun akan menganggapnya sebagai kawan dan membiarkannya. Bayangkan apa yang akan terjadi. Ya, kita akan mendapat penyakit yang berpunca dari penceroboh (mikro-organisma) tersebut.

Sel-B mempunyai kemampuan untuk menembak penceroboh dengan enzim yang dapat menghancurkannya. Sebahagian dari sel-B akan kembali ke nodus limfa untuk membina antibodi bagi melawan penceroboh tadi. Sekiranya penceroboh ini menyerang lagi, sistem imun sudah bersedia mempertahankan diri disebabkan antibodi yang sudah dibina tadi.

Sel pembunuh semula jadi atau sel NK (natural killer) pula memusnahkan apa-apa yang berada di laluannya. Mereka menyemburkan sel yang dijangkiti dengan toksin dan enzim pemusnah, yang akan memusnahkan semua penceroboh asing atau sel yang tumbuh secara tidak normal seperti sel kanser. Apabila sel NK sudah mulai lemah atau tidak aktif dan tidak lagi berupaya memusnahkan sel kanser, disebabkan radikal bebas dan beberapa faktor lain, seseorang itu akan mendapat penyakit kanser. Memperkuatkan sel NK merupakan satu cara yang baik untuk kita memusnahkan sel kanser secara semulajadi (natural).

Sel T-penindas boleh diibaratkan sebagai pasukan pengaman yang datang selepas penceroboh asing telah dimusnahkan dan untuk menenangkan gerak balas imun yang beraksi dengan hebat itu. Ia merupakan faktor penting dalam mengawal kerosakan tidak dijangka (collateral damage). Sekiranya gerak balas imun yang begitu aktif tidak dikawal, ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada tisu normal di sekelilingnya. Sekiranya sel T-penindas tidur dan tidak dapat mengawal gerak balas tersebut, kita akan mendapat penyakit yang dikategorikan di bawah penyakit autoimun. Terdapat lebih 80 jenis penyakit autoimun, contohnya adalah diabetes jenis 1, artritis reumatoid, psoriasis, sklerosis berganda dan lupus.

Untuk membolehkan sistem imun melindungi kita seperti yang ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta (Al-Khaaliq), kita perlu menjaga kesihatannya. Ia perlukan Vitamin E, Vitamin C, karotenoid, glutation, koenzim Q10, Zink dan antioksidan untuk kekal sihat dan berfungsi pada tahap terbaik.

Sekiranya anda merasakan anda tidak perlu mengambil permakanan tambahan untuk kekal sihat sepanjang hayat, fikirkan semula. Sila semak statistik mereka yang mendapat penyakit merbahaya seperti sakit jantung, kanser dan diabetes. Ia memberi kita petunjuk bahawa kita perlu melakukan sesuatu mengenai amalan permakanan kita.

Kanser Payudara: Apa Itu? Simptom, Punca dan Rawatan

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.

Pengkelasan Kanser Payudara

Kanser payudara dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.

Simptom atau Tanda-tanda Kanser Payudara

Pembentukan gumpulan merupakan tanda atau simptom biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda-tanda atau simptom lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi tanda kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.

Tanda-tanda lain mungkin terjadi gumpulan di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal. Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda-tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, simptom neurologi dan curahan (efusi) pleura. Masalahnya adalah tanda-tanda awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun.

Punca Kanser Payudara

Setakat ini tiada siapa yang benar-benar pasti apa punca kanser payudara. Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kanser payudara termasuk sejarah kanser dalam keluarga, umur, genetik, pil perancang keluarga, berat berlebihan dan gaya hidup kurang aktif. Menurut Dr. Joseph Mercola, antara punca utama kanser payudara adalah kekurangan nutrien dan pendedahan kepada pencemaran alam sekitar. Institut Penyelidikan Kanser Amerika menganggarkan bahawa kira-kira 40 peratus daripada kes kanser payudara di Amerika boleh dicegah jika orang ramai membuat pilihan gaya hidup yang lebih bijak.

Peringkat Kanser Payudara

Untuk mendiagnosis kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).

Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal insitu atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.

Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak. Peringkat II juga merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.

Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atau tulang dada.

Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

Kaedah dan Pilihan Rawatan

Rawatan bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Berbincanglah dengan doktor anda untuk pilihan rawatan yang sesuai dengan anda atau pesakit berkenaan. Pilihan rawatan umum untuk kanser payudara adalah pembedahan, terapi radiasi, kemoterapi, terapi hormon dan terapi sasaran.Sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai pilihan rawatan, pastikan keputusan biopsi diteliti dahulu oleh pakar yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan luas tentang kanser payudara.

Terdapat juga rawatan alternatif seperti penggunaan dos tinggi vitamin D dan mengambil makanan yang mempunyai nutrien tertentu. Ada juga yang menggunakan homoeopathy sebagai rawatan alternatif.

Testimoni tentang penggunaan pemakanan tambahan: Video YouTube

SAYANGI JANTUNG ANDA

Punca Penyakit Jantung – Adakah Kolesterol?

Penyakit jantung; seperti penyakit jantung koronari, serangan jantung, kegagalan jantung kongestif dan penyakit jantung kongenital, adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Kita sering diingatkan bahawa paras kolesterol yang tinggi merupakan punca penyakit jantung. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa punca penyakit jantung adalah kolesterol.

Kolesterol dan Penyakit Jantung

Kita tahu bahawa kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Namun ianya akan dibersihkan oleh kolesterol HDL. Semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita untuk mendapat penyakit jantung.

Kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik, dalam keadaan asal ia baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL daripada makanan, badan kita sendiri akan membuatnya. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol bagi menurunkan risiko mendapat penyakit jantung.

Penyebab Sebenar Penyakit Jantung

Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab utama penyakit jantung. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh daripada mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan penyakit jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol, anda sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.

Kolesterol LDL bukanlah penyebab masalah radang pembuluh darah. Punca utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi.

Homosistein dan Penyakit Jantung

Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer daripada Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Di dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain daripada itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik (B9), vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka. Satu penemuan yang perlu diberi perhatian.

Pencegahan Penyakit Jantung

Sebelum ini dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, tetapi kajian-kajian yang dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Untuk mencegah daripada mendapat penyakit jantung, kita dinasihatkan untuk mengubah gaya hidup. Pengambilan makanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal dapat membantu tubuh kita mendapat HDL (kolesterol baik), anti-oksidan, asid folik (B9), vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup, yang akan melindungi kita daripada penyakit jantung.

Rujukan: Buku “What Your Doctor Doesn’t Know About Nutritional Medicine May Be Killing You”

BAGAIMANA CARA MENGURANGKAN GULA DALAM DARAH

Bagi pesakit diabetes, pengambilan makanan faktor penting bagi mengawal tahap gula dalam darah. Ini kerana kencing manis terjadi akibat daripada kelemahan tubuh mencerna karbohidrat. Dalam proses metabolisme, karbohidrat diproses menjadi gula (glukos) dan ditukarkan kepada tenaga.

Bagaimanapun, tidak semua glukos menjadi tenaga. Bagi penyakit kencing manis, insulin berfungsi mengawal kadar lebihan gula dalam darah ini tidak berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan berlakunya pengumpulan gula yang menghasilkan keadaan hyperglycaemia dan menyebabkan terdapatnya gula dalam air kencing.

Oleh sebab itu, pesakit diabetes dinasihatkan pakar pemakanan mengurangkan gula dan lemak atau berpantang manis, mengurangkan karbohidrat dan melebihkan lemak sehingga ada antara pesakit tidak mampu berpantang disebabkan semua makanan mereka makan tiada ‘rasa’.

“Pengawalan pengambilan diet salah satu faktor penting di dalam pengawalan tahap gula dalam darah. Ini bermakna diet hendaklah seimbang sepanjang hari dan hendaklah konsisten hari demi hari.

“Diet diabetes adalah diet yang sihat dan sesuai diikuti semua orang. Bagi pesakit diabetes, mereka perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan kerana jenis makanan dimakan sangat mempengaruhi paras gula dalam darah,”

Ramai dikalangan masyarakat ketika ini tidak tahu serta mengambil mudah rawatan diet sedangkan diet diabetes sangat penting untuk mengawal paras glukos serta mencegah kehilangan glukos di dalam air kencing. Selain itu, pengambilan makanan seimbang mampu mengekalkan berat badan bersesuaian dengan ketinggian dan umur, mengekalkan kalori mencukupi bagi melakukan aktiviti harian dan paling penting, melambatkan atau mengelakkan komplikasi diabetes seperti dipotong kaki.

Dalam hal ini, pesakit perlu memahami tiga perkara penting iaitu apa yang hendak dimakan, waktu makan serta jumlah makanan bagi memberikan kesan positif dan berpanjangan. Terdapat tiga kumpulan makanan untuk pesakit diabetes iaitu makanan perlu dielakkan, makanan perlu dihadkan serta makanan yang bebas dimakan.

Makanan yang perlu ­dielakkan
Ini bukan saja terhad kepada gula tebu, gula kastor, gula melaka dan madu tetapi termasuk sebarang gula tersembunyi yang terdapat dalam produk makanan dibungkus. Pesakit harus membaca kandungan bahan disenaraikan pada label produk dan awasi sebarang bahan berasaskan gula seperti maltosa, sukrosa dan fruktosa selain gula yang terdapat dalam sos dan kicap.

Ini kerana, makanan atau minuman mengandungi gula ­ringkas akan meningkatkan tahap gula di dalam darah ­dengan kadar cepat. Ini termasuk gula pasir, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, sirap, jeruk, halwa, kuih-muih manis, susu pekat manis, buah-buahan dalam tin, minuman ringan, coklat, jem (kecuali jem untuk diabetes) dan semua makanan bersalut gula.

Makanan yang perlu ­dihadkan
Makanan mengandungi karbohidrat kompleks boleh diambil dalam jumlah sederhana.
Ini kerana makanan ini akan dicerna dan diserap perlahan-lahan dan dengan ini tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah secara mendadak. Oleh itu, pengambilan makanan dalam kumpulan ini harus diagihkan sepanjang hari, bukannya dimakan sekali gus dengan banyak.

Antaranya nasi, bijirin, biskut, kekacang, susu, pasta, semua jenis mi, semua jenis tepung, semua jenis ubi, buah-buahan dan jus serta sayuran berkanji seperti labu, jagung dan serbuk coklat.

Makanan bebas dimakan
Ini termasuk air kosong, air mineral, kopi dan teh, air barli, jus limau nipis, sayur-sayuran, ulam-ulaman, cuka, sup, serbuk rempah, serbuk cili, herba, kicap, sos dan garam.

Serat pula boleh didapati dalam bentuk larut (yang larut dalam air – membantu penyerapan nutrien) dan serat tidak larut (tidak dapat dihadam sistem pencernaan namun membantu mengelakkan sembelit).

Serat tidak larut boleh diambil dalam usaha mengurangkan berat badan kerana ia memberikan kekenyangan. Pengambilan serat larut membantu melambatkan penyerapan gula dan kolesterol ke dalam aliran darah.

Contoh makanan mengandungi serat termasuk sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang, bijirin, bijirin sarapan pagi, jagung dan pasta. Protein pula boleh didapati daripada sumber bijirin (roti, beras, pasta, tepung dan soya) atau daripada sumber haiwan (daging, ikan, telur, ayam dan produk tenusu). Ini perlu diberi perhatian dalam merancang pengambilan diet harian anda.

Selain menjaga pemakanan, penghidap diabetes juga digalakkan melakukan senaman ringan setiap hari seperti berjoging, berjalan kaki, turun naik tangga atau berkebun yang membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Selain itu, mereka perlu sentiasa mengawal kandungan gula sama ada memeriksa sendiri atau mendapatkan nasihat di hospital berhampiran.

Apa yang penting teknik ­menguruskan diabetes ­sehingga tidak menjadi lebih kronik.  Cara memasak yang pelbagai sangat penting supaya hidangan yang ­dihasilkan bukan saja berkhasiat bagi pesakit diabetes tetapi juga bagi mereka yang sihat.

“Rakyat Malaysia sinonim dengan makanan bergoreng. Walaupun makanan bergoreng boleh dimakan sekali sekala, mentega dan minyak diguna­kan untuk menggoreng tidak berkhasiat.  Justeru itu anda digalak menggunakan kaedah mengukus atau memanggang dengan tidak menggunakan minyak selain mengekalkan aroma dan perisa semula jadi ikan,

Bagi penggemar nasi lemak, mereka boleh menukar santan kepada susu soya untuk lebih berkhasiat, mungkin rasanya sedikit berbeza namun pesakit masih mampu menikmati hidangan dengan cara berbeza.